Daripada aktivis alam sekitar, seorang lelaki menjadi terlalu obses hingga melanggar fitrah manusia. Begitu pun, dia bukan orang pertama melakukan tindakan gila iaitu mengahwini sesuatu yang bukan manusia.
Jika sebelum ini ada yang berkahwin dengan objek seperti patung dan bantal, Richard Torres dari Buenos Aires, Argentina pula memilih untuk berkahwin dengan sebatang pokok. Perkahwinan Torres dengan pokok yang menjadi pilihan hatinya itu dilakukan Ahad lalu, lapor KXAN.COM.
Mengenakan persalinan kot putih dan topi biru, lelaki yang bekerja sebagai pelakon selain aktivis itu turut menjemput tetamu di hari bahagianya bagi menjadi saksi dia mengungkap lafaz setia.
Selepas melafazkan janji, Torres diberikan sebentuk cincin seterusnya mengucup pokok tersebut beberapa kali sebagai simbolik sudah termeterai ikatan suami isteri.
Daripada segi lain, Torres menyatakan dia bertindak mengahwini pokok kerana mahu membawa satu cara baru untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar terutama di negara-negara Amerika Latin.